some one like you

Ahad, 14 Oktober 2018

14.10.2018 Ulong Banja


Ulong Banja adalah nama panggilan kepada guru mengaji kami dizaman kanak2. Nama sebenar Ulong Banja ialah Isa (tak pasti bin apa). Rumah beliau terletak di Kampung Padang. Isteri Ulong Banja kami panggil Ulong Simpil. Ulong Banja mempunyai 4 orang anak yang kami kenal sebagai Udin, Ijan, Ijah, Ana dan Iyam.  Kumpulan mengaji ini terdiri dari kanak2 dari Kampung Solok, Bukit dan Dilir. Turut mengaji ialah beberapa orang kanak2 dari Kampung Padang. 

Seingat saya jumlah kanak2 yang mengaji dengan Ulong Banja hampir 30 ke 40 orang yang terdiri dari berbagai peringkat umur. Ulong Banjalah yang mengajar kami mengenal alif ba ta hingga ada dikalangan kami yang khatam beberapa kali. Sebelum belajar mengaji dengan Ulong Banja kami kanak2 dari Kampung Solok belajar mengaji dengan Arwah Tok Wahab iaitu suami kepada Uwan Sia.

Dirumah Ulong Banja kami mengaji diruang serambi rumah beliau. Jika kehadiran penuh kadang2 terpaksa menggunakan ruang tengah rumah tersebut. Jadual mengaji kami adalah pada setiap malam kecuali hari khamis malam jumaat (sememang dari kecil lagi kami sering ditakut2kan dengan malam jumaat, ntah nape saya tidak pasti tetapi diwarwarkan malam jumaat adalah malam hantu berkeliaran  hahaha). Sebelum waktu maghrib kami sudah berada dirumah Ulong Banja. Kumpulan mengaji ini akan membawa bersama daun kelapa kering yang diikat rapi seperti tocang rambut dan kadang-kadang membuat obor dari kain buruk yang diikat pada sebatang kayu yang dilumurkan dengan minyak gas (tanah). Alat2 ini adalah sebagai persediaan menjadi penyuluh jalan yang sememang gelap diwaktu balik mengaji nanti yang biasanya berakhir sekitar jam 9.00 malam (?). 

Sebelum masuk waktu maghrib kami kumpulan mengaji akan beramai2 menolong mengangkat air dari perigi yang terletak dibawah bukit berhampiran rumah Imam Mustafa. Diperigi inilah terdapat serpihan bangkai kapalterbang orang putih yang ditembak oleh askar Jopon. Serpihan tersebut diguna untuk dijadikan lantai perigi. Air perigi yang diangkut menggunakan baldi motong gotah Ulong Banja akan dipenuhkan kedalam kolam air yang terletak didapur rumah Ulong Banja. Peliknya amalan ini tidak pernah disuruh oleh sesiapa tetapi ia dilakukan secara sukarela. 

Sebelum mengaji juga kadang2 kami sempat berjalan kaki menuju kedai Pakcik Osman Bolidor pemandu bas untuk membeli kuih kocok yang dicicah dengan kuah kacang (memang sedap kuih ini).

Masuk waktu mahgrib Ulong Banja akan  mengimamkan kami solat maghrib. Selesai sahaja solat mahgrib Ulong Banja akan mula mengajar kami mengaji seorang demi seorang. Kadang2 beliau melantik beberapa orang kanak-kanak lain yang agak pandai mengaji untuk menjadi tenaga pengajar. Antara tenaga pengajar yang saya ingat ialah Kak Zainab Hussin iaitu kakak kepada Ariffin Hussin yang sama-sama mengaji bersama kami. Selesai mengaji kami akan membaca (menghafal) bacaan dalam solat beramai2. Inilah salah satu cara bagaimana kami semua dapat menghafal bacaan dalam solat. 

Kadang-kadang sebelum balik Ulong Banja akan bercerita kisah2 Nabi kepada kami semua. Saya amat mengkagumi Ulong Banja kerana beliau begitu hafal bercerita tentang kisah2 beberapa orang nabi tanpa merujuk kepada sesuatu sebagai panduan bercerita. 

Sebagai balasan ikhlas kepada Ulong Banja mengajar kami mengaji, setiap hujung bulan setiap keluarga akan menghulurkan sumbangan. Sumbangan itu bagi membantu beliau menampung perbelanjaan bagi membeli minyak tanah untuk lampu gas yang digunakan bagi menerangi serambi rumah semasa mengaji. Ada juga dikalangan kami yang tidak mempu membayar tapi beliau tidak pernah memaksa. 

Selesai mengaji semua Al Quran/Muqaddam dan rehal akan disusun dan diletakkan diatas palang kayu atap rumah beliau. Saat habis masa mengaji adalah yang paling gembira dan meriah. Masing2 akan menyalakan daun kelapa kering yang dibawa. Begitu juga yang membawa ubur. Yang nakal2 akan mengangkat kain kekepala untuk menyamar menjadi pucong.

Jalan dari Kampung Padang ke Kampung Solok pada masa itu dipenuhi hutan belukar dikiri kanannya. Kawasan yang agak menakutkan ialah diselekoh Bukit Sekodah terutama dibawah sepohon pokok kundang yang rimbun daunnya. Ada perkara yang saya masih ingat dengan kisah balik dari mengaji ini. Perkara tersebut ialah gelaran "**** **** banyak payung" keatas seorang rakan prempuan yang sama2 mengaji ketika itu. Gelaran **** **** itu diberi kerana beliau suka melilau2 terutama semasa balik dari mengaji dan gelaran banyak payung pula adalah kerana beliau suka memakai baju panas yang mempunyai corak payung yang banyak. 

Berbalik kepada kisah mengaji tadi mana2 kanak2 yang telah berjaya khatam Al Quran akan diraikan dalam majlis yang dinamakan "tamat guru". Keluarga yang terlibat dengan tamat guru ini akan menyediakan bunga telur dan pulut kuning (seperti yang tersedia semasa majlis perkahwinan dulu2)  serta peserta yang tamat guru akan berpakaian baju melayu/kurung lengkap. 

Kumpulan mengaji dirumah Ulong Banja ini akhirnya lenyap begitu sahaja. Siapa dan bila generasi terakhir mengaji dengan beliau memang saya tidak pasti. Saya pun tidak ingat atas alasan apa kumpulan mengaji generasi kami itu berhenti mengaji dirumah Ulong Banja. Dari sumber yang boleh dipercayai  Ulong Banja kembali ke rahmatullah pada tahun 1987. Walau apa pun jasa2 beliau mengajar kami mengenal Muqaddam dan Al Quran serta menghafal bacaan didalam solat tetap kami kenang hingga kesaat ini. Rumah beliau di Kampung Padang juga hanya tinggal tapak sahaja. Al Fatihah.
     
   
Ulong Simpil meninggal dunia pada 2 Jun 2021 dirumah anak beliau di Kuala Lumpur dan dikebumikan di Kampung Astana Raja. Al Fatihah.

Inilah rehal asal yang digunakan semasa mengaji dengan Ulong Banja. Ia ada dalam simpanan abang saya Sulaiman. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan