Keadaan terkini rumah pusaka keluarga pasangan Arwah Abd Rahman bin Serol dan Arwah Esah Binti Haji Taat yang terletak di Kampung Solok. Rumah masih dalam keadaan sempurna kukuh kerana kayu yang diguna untuk membuat rumah ini dari bahan kayu yang berkualiti.
Dapur kayu dengan dua tunku untuk memasak. Pembuatanya begitu kukuh dari kayu berkualiti yang masih bertahan hingga kini. Kenangan subuh/pagi sebelum kesekolah adik beradik akan berdiri disisi kanan dapur ini menunggu giliran untuk mendapatkan kuih kodok yang digoreng oleh arwah emak.
Dihadapan dapur kayu kelihatan para yang diguna untuk menyimpan pinggan mangkuk. Lantai para dibina berlubang bagi memudahkan menyusun pinggan mangkuk. Kelihatan pelita hari raya masih disimpan dibawah dapur ini.
Tudung saji. Dibuat dari daun mengkuang yang direndam didalam air untuk melembutkannya supaya mudah dibentuk. Daun mengkuang juga dibuat tikar. Diguna untuk menutup makanan. Kenyataannya tudung saji jarang diguna pada era 50an dan 60an kerana semua makanan akan dihabiskan setiap kali satu keluarga mengadap sajian makanan tersebut. Tidak seperti zaman sekarang setiap habis mengadap hidangan pasti ada yang tinggal saki baki lauk pauk yang tidak habis. Pada era tersebut tudung saji banyak tergantung didinding dari berfungsi sebagai penutup hidangan. Kadang2 jika ada "kenduri kubur" barulah ia digunakan. Lagi satu jika pasangan baru berkahwin pihak "besan" akan menghantar "jamba" kepada pihak "besan" pasangannya terutama bila menyambut hari raya. Tudung saji akan diguna untuk menutup "jamba" yang dibawa.
Bintang atau dulang yang terdiri dari tiga saiz. Yang paling besar untuk kegunaan mengisi piring lauk pauk semasa kenduri. Yang sederhana besar untuk menghidang lauk pauk hidangan keluarga dan yang paling kecil untuk menghidang tekoh dan cawan minuman.
Mempunyai berbagai corak.
Mangkuk/pinggan mangkuk yang dibuat daripada ayan dalam berbagai saiz. Ada syarat tertentu bila perlu guna mangkuk ayan dan bila perlu guna mangkuk/pinggan mangkuk kaca. Ayan lebih tahan lasak.
Semua pinggan mangkuk arwah emak ditanda huruf "E" sebagai tanda pengenalan bagi mengelak supaya mudah dikesan/tidak hilang semasa majlis kenduri kahwin yang kadang dipinjamkan kepada keluarga pengantin.
Huruf "E" ada dimana2. Zaman dulu jarang pinggan mangkuk yang hilang bila dipinjamkan. Kejujuran ada dimana2 sehingga tak terpungut.
Set sudu tembaga antara koleksi arwah emak yang dijaga rapi. Harap2 masih ada lagi tersimpan dirumah pusaka.
Bekas habuk rokok hasil kerja subjek "Seni Perusahaan" saya semasa ditingkatan satu (1972) Semenda. Gurunya Mr Lim Goh Poh (ntah betul ntah tidak nama tu).
Piring ayan. Diguna untuk mengisi lauk pauk hidangan keluarga. Fungsi dia bertukar kepada bekas ubat nyamuk. Masih ada kesan2 habuk ubat nyamuk disitu.
Almari pinggan mangkuk. Bila ada kenduri kahwin tidak perlu pinjam pinggan mangkuk. Stok yang ada dah memadai. Ateh lemari yang wano itam tu den punyo radio/cartridge jenamo National. Boli maso mulo2 kojo awal 80an. Masih bobunyi tu..
Almari khas arwah bapak. Banyak barang2 berharga disimpan disini termasuk parang, keris, songkok President Suharto, topi askar British, jam tangan Titoni, medal, kitab2 dll. Didalam almari ini juga arwah bapak menyimpan rubber stamp tanda tangan beliau. Setiap hujung penggal rubber stamp itu saya curi untuk tandatangan kad kemajuan sebab "takut" nak mengadap dia.
Almari buku. Sehingga hari ini lokasinya kekal diserambi rumah. Diatas almari ini arwah bapak meletakkan radio Philips beliau. Radio atas almari tu milik Arwah Abang Harun.
Kunci rumah. Diguna bila arwah bapak mengunci rumah untuk membawa seisi keluarga berjalan2. Kadang2 pergi Tampin dan kadang2 pergi Kuala Lumpur. Kami sekeluarga menyambut ulangtahun kemerdekaan ke 10 (1967) di Kuala Lumpur. Antara acara sambutan yang dapat ditonton ialah pertunjukkan tatu PDRM di Stadium Merdeka. Semua ini adalah atas ehsan/jemputan Arwah Ngah Omar/Ngah Iyam yang kebetulan tinggal dan bekerja di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur.
Banyak lagi barang2 peninggalan mak/apak dirumah ini. Setiap barang ada ceritanya yang tersendiri. Apa yang penting bukan barang2 lama tersebut, tetapi kenangan lama itu yang paling berharga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan