Bapak dulu bekerja sebagai askar British. Tak pasti tahun bila. Mungkin tahun 50an. Dapat tau bukan dari mulut bapak tapi dari uniform askar yang dimilikinya. Hampir satu almari penuh dengan uniform askar. Semuanya keras mungkin mengguna tepung sagu semasa menggosok. Dari koleksi tersebut terdapat sebuah topi ala topi cowboy yang memang diguna oleh askar British. Baju2 tersebut tidak pernah terusik kecuali dapat saya gunakan sehelai untuk kegunaan menoreh getah. Terdapat juga sebuah medal tak pasti untuk anugerah apa. Apa jadi dengan uniform tersebut selepas bapak meninggal dunia saya tak pasti sebab saya telah keluar bekerja. Selepas berhenti dari menjadi askar British, bapak bekerja sebagai pemandu mesin padi. Inilah pekerjaan yang menjadi sumber rezeki membesarkan kami sekeluarga. Habis empat simpang diterokainya saban hari demi memenuhi keperluan orang-orang kampung untuk menjadikan padi kepada beras. Tidak hairan ramai yang mengenali bapak. Lokasi rumah mesin padi terletak di Astana Raja jalan menuju ke Air Melintang. Sebelah rumah mesin padi ialah stor kayu Talib Kacho. Mesin padi ini adalah milik Syarikat Bekerjasama Serbaguna Kampung Batu Sdn. Bhd. yang berpejabat di Kampung Batu (Berhampiran masjid Kampung Batu). Selain dari Astana Raja terdapat juga rumah mesin padi statik di Ulu Gadung, Kota. Perjalanan mesin padi mempunyai jadual yang telah ditetapkan mengikut hari2 tertentu. Contoh isnin ke Semerbok, selasa ke Kampung Batu, rabu ke Lubuk Cina, khamis ke Kota. Dua orang diperlukan untuk mengendalikan mesin padi. Seorang pemandu dan seorang pembantu. Antara yang pernah jadi pembantu ialah Abok anak Induk Iyah Solok dan Abang Harun. Bila ada orang yang hendak mesin padi perlu ditimbang dahulu bagi menentukan kadar upahnya. Upah mesin padi adalah sekitar 10sen/20sen sekati. Sebuah penimbang pelantar memang ditempatkan diatas mesin padi ini. Seorang akan naik keatas mesin padi bagi mencurah padi kedalam corong dan seorang lagi menunggu dibawah untuk menadah padi yang telah menjadi beras. Kulit padi yang dipanggil dedak akan keluar melalui bawah mesin padi. Dedak ini juga menjadi sumber hasil syarikat kerana ia boleh dijual untuk digunakan sebagai makanan ayam/itik. Sebelum bapak berhenti kerja kerana sakit, tempat terakhir dia bekerja ialah di rumah mesin padi Ulu Gadung. Sepanjang dia bekerja memang banyak minyak hitam terpakai tersimpan dirumah untuk disapu pada dinding dan tiang rumah bagi terhindar dari serangan anai2. Selain itu besi2 gandar terpakai pun banyak yang bapak simpan. Waktu kerja kalau tak silap 8 pagi hingga 5 petang. Tak ingat apa hari cuti mesin padi ini. Semua urusniaga berkait dengan mesin padi akan dikeluarkan resit. Satu salinan asal dan satu diberi kepada pelanggan. Semua rekod dalam buku resit akan direkodkan pula dalam buku besar. Pernah helaian buku besar dikoyakan dan dihilangkan oleh salah seorang abang saya. Bayangkan betapa marahnya bapak kerana terpaksa memberi penjelasan kepada majikanya tentang kehilangan tersebut. Kerja2 merekod ini biasa bapak lakukan pada petang atau sebelah malam. Memang siap meja yang dikhasnya untuk kerja2 ini. Mesin taip pun bapak ada. Tandatangan bapak menggunakan rubber stamp, memang mudahlah untuk dicuri guna bagi menandatangani kad kemajuan (Report card) sekolah kami pada setiap penggal. Yang peliknya nape perlu takut nak mengadap bapak setiap hujung penggal bagi mendapatkan tandatangan sedangkan saya pernah mendapat hadiah sebuah basikal kerana berjaya memperoleh keputusan terbaik?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan