some one like you

Isnin, 29 April 2019

29.4.2019 Kisah basikal


Selesai joging di Taman Rekreasi Seksyen 7 Bandar Baru Bangi berborak dengan seorang kanak2 mungkin berusia 5 atau 6 tahun mengenai basikal jenama Lerun yang baru dibeli oleh ibu/bapanya. Saya bertanya berapa harga basikal tersebut dan dengan penuh yakin lagi selamba dia menjawab "RM57.00 pakcik". Saya percaya namun apabila di google harga basikal tersebut ialah RM369.00. Rupa2nya saya ketinggalan zaman mengenai harga terkini basikal2 yang berlambak dipasaran ketika ini. 

Kisah basikal ini menyingkap kenangan saya dihadiahkan sebuah basikal jenama Raleigh oleh arwah bapak kerana berjaya mendapat kedudukan terbaik didalam kelas semasa di darjah satu (Tahun 1966) di SKAR. Betapa bangga kerana dizaman itu bukan senang untuk mendapat hadiah penghargaan dari keluarga. Mungkin satu dalam seribu yang mendapat penghargaan sebegitu. 

Hari berganti bulan dan lama kelamaan tayar dan tiub basikal tersebut telah terbang entah kemana. Tiada siapa yang ambil peduli untuk menggantikan tayar dan tiub yang telah tiada itu. Memang kebiasaan jika tayar basikal yang ditunggang tidak berangin sudah pasti lama kelamaan tayar dan tiub basikal tersebut akan hancur. Hakikatnya basikal tersebut berfungsi dengan baik kecuali tiada tayar dan tiub sahaja. Bermakna perbelanjaan untuk membaikinya adalah murah sahaja tetapi kenapa tiada usaha untuk membaikinya? 

Suatu petang dalam cuaca hujan yang agak  lebat, sambil bermain hujan dan mengayuh basikal yang tiada tayar dan tiub berhampiran dengan rumah saya, arwah Pak Andak yang baru balik dari kebunnya telah menegur saya kenapa dibiarkan basikal tersebut sebegitu rupa sedangkan ia boleh dibaiki, mungkin andaian beliau jika dibiar begitu lama2 basikal tersebut akan lebih teruk, lalu beliau meminta basikal tersebut dari saya. Tanpa memikirkan risiko perbuatan tersebut saya terus memberikan basikal itu kepada arwah Pak Andak. 

Memang betul ramalan saya Pak Andak telah membaiki basikal tersebut dan hampir setiap hari saya terlihat anak2 beliau menunggangnya. Yang peliknya saya tidak sedikit pun merasa terkilan atau bersalah kerana memberikan secara percuma kepada Pak Andak. Baik hati sangatlah konon. 

Tidak beberapa lama kemudian suatu malam arwah bapak telah bertanyakan saya dimana basikal hadiah pemberiannya tempohari lalu saya menjawab telah diambil oleh arwah Pak Andak. Pada malam itu juga dengan mengeluarkan suara beramaran arwah bapak telah mengarahkan saya untuk mengambil semula basikal tersebut dari rumah arwah Pak Andak di Bukit Serajin. 

Dalam keadaan menangis saya berjalan kaki seorang diri menuju rumah arwah Pak Andak di Bukit Serajin untuk mengambil semula basikal saya. Takut saya kepada kemarahan arwah Bapak melebihi dari takut menempuh malam yang gelap seorang diri. Dalam perjalanan hati saya berkata2 bagaimana kalau Pak Andak tidak mahu memulangkan semula basikal saya? Jika begitu matilah saya. Apa saya hendak jawab kepada arwah bapak nanti? 

Sampai dirumah arwah Pak Andak di Bukit Serajin, dalam keadaan masih menangis saya memberitahu arwah Pak Andak tujuan saya datang.

Alhamdulillah mungkin arwah Pak Andak faham tentang situasi yang berlaku, tanpa banyak soal dia  memulangkan semula basikal tersebut kepada saya dan saya terus menunggangnya balik kerumah. Dirumah saya tidak memaklumkan apa2 perkembangan kepada arwah bapak kerana masih dibelenggu perasaan takut dan selepas peristiwa itu arwah bapak tidak pernah bertanya lagi tentang  hal2 basikal bertuah tersebut.

Akhirnya basikal tersebut tersadai begitu jua dibawah rumah kerana mengalami kerosakkan dan dimana basikal itu berada sekarang saya pun tidak pasti. Jika saya tahu pasti saya akan mencarinya sampai dapat dan sanggup membelinya walau berapa harga yang ditawarkan. Kerana apa? Kerana ia adalah  basikal bertuah!  

Inilah contoh bentuk basikal tersebut dengan rim bersaiz 24". Ia agak comel berbanding dengan basikal biasa yang mempunya rim bersaiz 26".


            Basikal Lerun milik kanak2 yang saya temui di Seksyen 7 BBBangi.









https://nostalgiabasikaltua.wordpress.com/tag/raleigh/









27.4.2019 NATURA RUN FOR HOPE 2019 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan